Home

Wednesday 24 September 2014

NILAI SEBUAH PENGORBANAN


Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang sangat sinonim dengan bulan menunaikan ibadah Haji dan ibadah korban. Tetapi hakikatnya, bulan ini lebih tepat dikenali dengan bulan menilai cinta ataupun nilai sebuah cinta. Kenapa cinta ? kerana sungguh banyak pengajaran yang  boleh kita dapat dari kisah ini sebenarnya.

Aku Menginginkan seorang anak
Nabi Ibrahim sangat menginginkan seorang anak. Keinginan yang sangat luar biasa dikala Nabi Ibrahim dan Isteri-isteri sudah lanjut usia. Keinginan dari yang KHALIL Allah iaitu kekasih yang sangat dikasihi .

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan (KHALIL)Nya. [Al-Nisaa' 4:125]

Akhirnya penantian demi penantian telah dimakbulkan oleh yang pencipta iaitu Allah yang Maha Agung. Lahirlah seorang anak yang sangat dikasihi dan dicintai , Ismail . Maka , bermulalah episode dimana cinta Nabi Ibrahim terhadap anaknya Ismail diuji oleh Allah. Diuji kenapa? Diuji keutamaan cinta yang agung. Sama ada memilih cinta Allah ataupun cinta kepada seorang anak dan juga isterinya Hajar. Akhirnya, atas perintah kekasih yang sangat dicintai , Allah, Hajar dan Ismail di hantar jauh dari pandangan mata ke bumi Makkah. Mereka ditinggalkan tanpa ada apa-apa sumber makanan dan tempat tinggal . Dengan hati yang tabah , Nabi Ibrahim menggagahkan diri meninggalkan mereka kerana baginda tahu, Allah pasti akan menjaga mereka.
Satu ujian Berjaya dilalui oleh Nabi Ibrahim demi membuktikan nilai dan keutamaan sebuah cinta.

Cinta agung seorang ibu
Ismail menangis kelaparan. Susu ibu semakin kering kerana tiada lagi makanan yang boleh di makan untuk menambah susu. Hati ibu tidak dapat menanggung derita melihat anak yang masih kecil menangis meminta susu kerana lapar. Kerana nilai kasih sayang yang mendalam seorang ibu terhadap anaknya, digagahkan diri berlari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah, tetapi, tidak juga ditemukan dengan sumber makanan. Beliau berlari lagi dari Bukit Marwah ke Bukit Safa , tidak juga ditemui sumber makanan. “barang siapa berusaha dan tawakal, pasti Allah membantu” . Sebanyak 7 kali beliau berlari dari Safa ke Marwah, untuk mengharapkan ihsan Allah supaya dibantu anak kecil itu. Akhirnya, melalui hentakan kaki si anak, terpancutlah air tanda cinta Allah kepada Ismail dan juga hasil usaha yang dibuktikan oleh Hajar. Akhirnya, air itu telah di “zam-zam”kan untuk menjadi sumber minuman yang menyegarkan.

Begitulah hebatnya nilai sebuah cinta seorang ibu terhadap anaknya.

Rindu seorang ayah
Nabi Ibrahim sangat merindui Ismail dan Hajar. Digagahkan diri menuju bumi Makkah untuk bertemu buah hati yang selama ini ditinggalkan dengan penuh tawakal. Memang tidak dapat dinafikan, Nabi Ibrahim tetap seorang manusia yang punya rasa cinta dan rindu. Rindu yang dipendam bertahun lamanya. Bertemulah mereka di bumi Makkah, bumi cinta dan rindu. Ismail juga sangat merindui ayahnya, walaupun ditinggalkan. Tapi, kesan tarbiyah yang diberi oleh Hajar, seorang anak memahami keutamaan cinta si ayah yang merupakan seorang Nabi utusan Allah.
Sekali lagi cinta mereka teruji. Kali ini keutamaan cinta si ayah diuji dan juga kepatuhan si anak menjadi cabaran. Nabi Ibrahim mendapat “arahan” oleh Allah didalam bentuk mimpi untuk menjadikan anaknya sebagai korban tanda cinta. Mengorbankan yang orang yang dicintai dan dirindui. Cinta dan kasih Nabi Ibrahim kepada Allah mengatasi cintanya kepada Ismail menyebabkan baginda menggagahkan diri untuk memaklumkan kepada anaknya Ismail. Dalam menggapai cinta teragung, cinta perlukan keutamaan. Keutamaan memilih cinta, cinta siapa yang perlu diutamakan.
Dimana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ternyata, Ismail juga sama seperti ayahnya Nabi Ibrahim. Ditarbiyah dengan baik oleh hajar untuk mengetahui cinta teragung, iaitu cinta kepada Allah perlu diutamakan. Ismail menerima segala apa yang diminta oleh Nabi Ibrahim kerana mereka berdua perlu membuktikan cinta mereka kepada sang Khaliq, sang pencinta yang paling agung, Allah.
Ternyata Allah memahami dan menerima korban cinta mereka demi Nya, digantikan korban cinta mereka berdua dengan korban yang sebenarnya berupa seekor Kibash (macam kambing biri-biri).
Sekali lagi, Nabi Ibrahim Berjaya membuktikan ketulenan cintanya kepada Allah, serta kali ini, si anak, Ismail juga berjaya juga menjadi seperti ayahnya Nabi Ibrahim membuktikan cinta.

Pengajaran
Kisah Ibrahim, Ismail dan Hajar sinonim dengan pengorbanan. Namun , sebelum pengorbanan, ujiannya adalah pada KEUTAMAAN. Keutamaan memilih cinta.
Melafazkan kalimah Laa Ilaaha Illallaah , bererti meletakkan cinta Allah mengatasi segalanya. Tetapi tekad Ibrahim melaksanakan perintah Allah untuk cintanya dikorban, membuktikan Ibrahim telah dan terus mencintai Allah, mengatasi segala-galanya, hatta Ismail, si anak, buah hati pengarang jiwa. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Ibrahim kepada ALLAH itulah, yang menjadikan kasih Ibrahim kepada Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.
Segalanya telah terbukti, kisah cinta ini kisah cinta teragung, mengatasi kisah cinta Laila dan Majnun serta Romeo dan Juliet . Cinta tertinggi , cinta seorang ayah terhadap anaknya, kerana cintanya berhubung dengan tanggungjawab, amanah, keutamaan, pengorbanan, jauh daripada sekadar naluri emosi dan keinginan.

Dan segalanya, selepas cinta kepada Allah kekal tertinggi, tiada kompromi.

Andai Allah adalah keutamaan tertinggi hidup ini, kemanisan menggapai cinta dan iman menjadi keinginan.

Cinta perlukan pengorbanan,
Pengorbanan perlukan keutamaan,
Cinta Allah cinta yang tiada batasan,
Syurga dan rahmat Allah merupakan pengakhiran.

Mohd ‘Izzul ( Abu Muhammadyn)
JKC ISMA Johor.

25 September 2014

No comments: